Majlis Khatam Al-Qur’an dan Doa Kesyukuran bagi bakal Graduan
story

Sempena Majlis Konvokesyen ke-28 yang akan berlangsung pada 15hb Oktober 2016, Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah mengadakan Majlis Khatam Al-Qur’an dan Doa Kesyukuran pada 10 Oktober 2016, khusus bagi semua bakal graduan yang beragama Islam.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman. Juga hadir ialah pegawai-pegawai utama UBD, para ibu-bapa, serta pembimbing peserta majlis khatam yang diraikan.

Majlis didahului dengan bacaan Surah Al-Faatihah yang diketuai oleh tetamu kehormat, dan kemudian diikuti dengan bacaan Surah Adh-Dhuhaa hingga Surah Al-Masad beramai-ramai. Acara disusuli dengan bacaan takhtim dan doa khatam Al-Qur’an. Acara kemudiannya diteruskan dengan penyampaian sijil dan cenderahati kepada para pembimbing dan peserta khatam.

Majlis yang diadakan di Masjid Universiti, UBD itu diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran sempena Majlis Konvokesyen UBD ke-28 oleh Imam Masjid Universiti. Bagi persediaan awal menjelang Majlis Konvokesyen, bacaan 30 Juz’ Al-Qur’an bagi Majlis Khatam Al-Qur’an tahun ini telah berlangsung sejak pertengahan bulan Mei yang lalu.

Majlis Khatam Al-Qur’an ini merupakan salah satu acara tahunan yang diadakan dengan tujuan untuk merayakan para graduan UBD yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka, di samping melaksanakan fardhu ‘ain bagi mahasiswa/i yang beragama Islam. Selain itu, Majlis Khatam ini merupakan salah satu inisiatif UBD bagi merealisasikan hasrat titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ingin Negara ini membina generasi Al-Quran yang membawa maksud untuk melahirkan generasi yang ‘Celik Al-Qur’an’, sekaligus membentuk Negara sebagai sebuah ‘Negara Zikir’. Di samping itu, ia juga akan dapat melahirkan mahasiswa/i UBD yang berketerampilan dan mendukung usaha universiti mencapai matlamat ‘ke arah kesempurnaan insan’.

  • UBD Video